Menggalakkan kemakmuran ekonomi, capai kesamarataan



​​

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





JERUDONG, Rabu, 8 Mei. - Ekonomi global dan industri kewangan telah terjejas secara ketara oleh pandemik COVID-19, yang berfungsi sebagai pengajaran penting bagi kita semua dan mengakibatkan kebanyakan negara mengalami kemelesetan ekonomi yang berpanjangan.

 

Setelah mengalami kelembapan ekonomi yang ketara pada 2022, diikuti dengan penurunan lebih lanjut tahun lalu, Bank Dunia meramalkan penurunan pertumbuhan ekonomi global untuk 2024, menandakan tahun ketiga berturut-turut perlambatan (deceleration).

 

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Kali Ke-16 Islamic Financial Services Board yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Brunei, di sini.

 

Menurut Yang Berhormat, dunia juga menghadapi cabaran lain yang timbul daripada peristiwa berkaitan iklim, seperti peningkatan suhu global dan paras laut, peristiwa cuaca ekstrem, dan 'acidification' laut, ini telah menimbulkan ancaman dan risiko tambahan yang mempengaruhi prestasi pertumbuhan ekonomi global.

 

Pada masa yang sama jelas Yang Berhormat, sektor perkhidmatan kewangan dan model perbankan tradisional terus diuji dan diganggu oleh inovasi digital, termasuk Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence -AI), rangkaian blok, aplikasi mudah alih; pemain bukan bank (non-bank players); dan syarikat 'startup' dan teknologi, yang bersama-sama mewujudkan landskap persaingan yang lebih sengit.

 

Menurut terang Yang Berhormat, kewangan Islam berusaha untuk menggalakkan kemakmuran ekonomi, mencapai kesamarataan sosioekonomi, dan mewujudkan keadilan sosioekonomi, dengan ciri-ciri asas ini memperkuatkan daya tahannya terhadap kelembapan kewangan, risiko iklim, gangguan digital, dan ketegangan geopolitik.

 

Melalui kajian yang dijalankan oleh Dana Monetari Antarabangsa (International Monetary Fund-IMF) tentang prestasi sektor perbankan semasa krisis 'subprime' 2008 ujar Yang Berhormat, industri kewangan Islam terbukti secara empirikal lebih berdaya tahan daripada rakan sejawat konvensionalnya semasa waktu krisis dan kerentanan.

 

Kewangan Islam juga tambah Yang Berhormat telah mengalami pertumbuhan yang signifikan selama bertahun-tahun, dan menurut Laporan Standard & Poor 2024-2025, industri kewangan Islam terus berkembang pada 2023, dengan peningkatan aset sebanyak 8.0 peratus, didorong oleh pertumbuhan yang ketara dalam perbankan Islam dan pasaran modal Islam di kawasan-kawasan utama.

 

“Dalam konteks tempatan kita, saya gembira untuk berkongsi bahawa pada suku keempat 2023, aset kewangan Islam mewakili 57.9 peratus daripada jumlah bahagian pasaran perkhidmatan kewangan negara.

 

“Institusi pengambilan deposit, yang terdiri daripada kedua-dua bank dan syarikat kewangan, memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri perkhidmatan kewangan Islam, menyumbang 95.2 peratus kepada jumlah aset kewangan Islam.

 

“Entiti takaful, walaupun memegang bahagian yang lebih kecil, masih memberikan sumbangan ketara sebanyak 4.8 peratus," ujar Yang Berhormat lagi.

 

Kejayaan dalam membangunkan kewangan Islam di Negara Brunei Darussalam (NBD) menurut Yang Berhormat, diperuntukkan kepada usaha bersama banyak pihak berkepentingan, termasuk Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), agensi kerajaan yang berkaitan dan industri kewangan.

 

Sebagai 'regulator' kewangan kata Yang Berhormat, BDCB telah memainkan peranan penting dalam menetapkan kerangka kerja yang diperlukan untuk membudayakan ekosistem yang berkembang pesat bagi kewangan Islam.

 

Pada masa yang sama tekan Yang Berhormat, industri kewangan juga telah memberikan sumbangan yang penting dalam memajukan kewangan Islam, ini termasuk pelaburan sebanyak BND2 bilion oleh sebuah bank Islam tempatan ke arah usaha kelestarian; pengenalan penyelesaian digital untuk produk takaful; penawaran produk pelaburan Islam dan capaian seorang pengurus aset Islam tempatan menjadi penandatangan kepada Prinsip-prinsip Pertanggungjawaban Pelaburan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Principles for Responsible Investment).

 

“Selain daripada sektor kewangan, pemain industri lain seperti syarikat-syarikat FinTech dan telekomunikasi juga turut memainkan peranan dalam kemajuan kewangan Islam di NBD, dan telah menyaksikan pengenalan gerbang pembayaran e-Zakat dan platform 'crowdfunding' untuk inisiatif Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang juga telah menyumbang kepada pemahaman visi negara untuk menjadi sebuah Negara Pintar," ujar Yang Berhormat lagi.


Close